Terlajak perahu boleh diundur, tapi kalau dah terlajak kata... habislah. Bila kita dah terlepas mulut, dan orang yang dikutuk tu suruh tarik balik, boleh ke masuk balik apa yang dah dikata? Bunyi akan terus berjalan ke depan, kan? Mana mungkin kita boleh tarik balik apa yang kita cakap. Bila kita cakap sesuatu yang menyakitkan hati dekat sesiapa pun, termasuklah orang yang tersayang, maknanya diri kita sebenarnya tengah kelam tak pasal-pasal masa tu. Kalau orang dah marah, apa-apa pun boleh terlepas dari mulut; dan ini bertepatan dengan peribahasa kerana mulut badan binasa. Kalau dah terlepas cakap, tuan punya badan yang merana sebab gelisah dia dah terlanjur kata. Kalau kes yang lagi kronik pulak, benda tu akan sentiasa menghantui tuan badan yang petah berbahasa kasar terhadap seseorang yang telah dia sakiti tadi.
Secara jujurnya, aku rasa akulah orang tu. Sejak zaman ketamadunan manusia mula teruk lagi, macam-macam pengaruh dah disuntik dalam otak aku. Apa benda-benda tak patut buat yang aku nampak, itulah aku ikut; sebab aku sentiasa disuapkan dengan perkara-perkara negatif macam tu hampir setiap hari. Ini termasuklah tutur kata dan budi bahasa sesama manusia. Kalau dulu aku marah, perkataan kasar yang keluar sangat generik, dan orang masih boleh maafkan aku. Sekarang ni, perkataan kasar aku dah pun di luar kawalan, sampai orang boleh ambik serius apa yang aku muntahkan walaupun sebenarnya aku langsung tak maksudkan apa-apa. Tak cukup dengan tu, aku boleh pulak cakap kat belakang benda-benda tak elok pasal orang yang aku marah tu sebab aku bersangka buruk dekat dia. Si batu api yang tekun mendengar pasal kemarahan pulak lagi nak marakkan api aku yang dah sedia marak tu. Disebabkan tu, lagi banyaklah aku terlanjur kata sampai setan pun bangga dengan pencapaian aku sebagai makhluk yang lebih hebat mencarut.
Aku rasa macam bodoh je lah biarkan diri aku terpengaruh. Aku tau aku banyak sakitkan hati orang dengan mulut celupar aku. Aku nak mintak maaf banyak-banyak dekat sesiapa yang aku dah terlepas cakap tu. Aku salahkan diri aku sendiri sebab tak mampu nak kawal kemarahan aku.
Maafkan aku, kawan.
No comments:
Post a Comment